TERKINI

Pembongkaran Skandal YAPEIM Part 1


Saya mengambil maklum mengenai tindakan YB Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang telah memfailkan saman terhadap saya petang semalam berhubung dengan perkara yang dibangkitkan mengenai pembaziran yang berlaku di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang seolah-olah tidak menggambarkan kebajikan dan amal jariah.

Saya difahamkan surat saman (writ) akan diserahkan kepada saya minggu hadapan dan saya akan merujuk perkara tersebut dengan pasukan peguam.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya hanyalah seorang pemberi maklumat (whistleblower) dan persoalan-persoalan yang dikemukakan adalah demi kepentingan orang ramai terutamanya apabila lebih setengah juta orang rakyat Malaysia memberi sumbangan derma tiap-tiap bulan kepada YaPEIM.

Ianya juga menjadi kewajipan kepada kita semua untuk membela mereka yang sepatutnya menerima sumbangan seperti anak yatim dan miskin selaras dengan tuntutan amal jariah.

Setiap pencarum yang ramainya dikalangan kakitangan kerajaan, guru, polis dan pekerja swasta berhak mendapat keadilan untuk memastikan setiap sumbangan mereka digunakan untuk tujuan kebajikan dan disampaikan ke pihak yang benar-benar layak.

National Oversight and Whistleblowers (NOW) telah menerima satu lagi dokumen yang menunjukkan bahawa wang YaPEIM telah digunakan untuk program di Brisbane, Sydney dan Melbourne, Australia.

Ianya dikatakan telah berlangsung pada 16 April sehingga 26 April 2014 sebagai program yang diberi nama “Promoting Islamic Values In Multi Culture & Religion: Future & Challenges”.

Jumlah peserta yang disasarkan adalah seramai 50 sehingga 70 orang yang dikatakan terdiri daripada pelajar Malaysia yang menuntut di Australia.

Mengikut dokumen Anggaran Perbelanjaan dan Agihan Mengikut Agensi Program Kembara Santun 2014, terdapat 4 agensi YaPEIM telah terlibat untuk menjayakan program ini iaitu Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN), YaPEIM, Institut Penyelidikan dan Perundingan YaPEIM (INPUT) serta Ar-Rahnu.

Berdasarkan bukti-bukti tersebut, benarkah agihan perbelanjaan adalah seperti berikut?

1. Pembiayaan melalui PEMANGKIN adalah RM 73,800.00

2. Pembiayaan melalui YaPEIM adalah RM 106,840.00

3. Pembiayaan melalui INPUT adalah RM 25,215.00

4. Pembiayaan melalui Ar-Rahnu hanyalah RM 12,650.00


Maka anggaran jumlah keseluruhan perbelanjaan adalah RM 218,505.00.

Jika dokumen ini adalah benar seperti dokumen-dokumen yang dikemukakan sebelum ini, agihan perbelanjaan ini menimbulkan pelbagai persoalan-persoalan seperti:-

1. Benarkah program ini telah diadakan di Brisbane, Sydney dan Melbourne, Australia?

2. Apakah rasional YaPEIM terlibat dalam penganjuran program ke luar negara sebegini yang kosnya begitu mahal sedangkan hanya sebilangan kecil yang menerima manfaat?

3. Mengapa pembiayaan melalui PEMANGKIN dan YaPEIM adalah paling besar sedangkan agensi perniagaan YaPEIM iaitu Ar-Rahnu hanya menampung sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan program di Australia?

4. Apakah keperluan menaiki penerbangan kelas bisnes untuk Program Kembara Santun dan siapakah mereka yang menaiki penerbangan kelas bisnes?

5. Adakah PEMANGKIN bermaksud Yayasan Pembangunan Ekonomi Anak Yatim dan Miskin?


Sewajarnya Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM dan Menteri berkenaan iaitu YB Dato’ Seri Jamil Khir tampil menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.

YaPEIM adalah sebuah Yayasan Islam yang berteraskan kepada sumbangan amal jariah dan bukannya entiti perniagaan yang mengaut keuntungan.

Jika terdapat lebihan pendapatan sekalipun, wang tersebut seharusnya disampaikan kepada mereka yang memerlukan seperti anak yatim, fakir dan miskin mengikut konsep amal jariah.

Rakyat, pemberi dan mereka yang sepatutnya menerima sumbangan amal jariah YaPEIM berhak mendapat keadilan dan pembelaan.

Rujuk bukti dokumen dibawah .






Recent Post